DUA kali ketinggalan namun skuad hoki negara bangkit untuk menewaskan Kanada pada perlawanan kedua kumpulan B, Piala Negara-Negara FIH, disifatkan sebagai satu kemenangan besar, biarpun dari segi angka, Speedy Tiger menang 3-2.

Dalam aksi di Universiti North-West, Potchefstroom, Afrika Selatan pada Selasa, Kanada mendahului menerusi jaringan padang Sean Davis pada minit ke-19,  sebelum Firhan Ashaari memadam kelebihan itu pada minit ke-33.

Bagaimanapun, sikap lambat bertindak pertahanan negara mengundang padah apabila Gordon Johnston kembali meletakkan pasukan dari Pan Amerika itu di depan pada minit ke-40.

Piala Negara-Negara FIH: Faiz Helmi Jai mengatur serangan pada perlawanan kedua kumpulan B antara Malaysia menentang Kanada./
WORLDSPORTPICS COPYRIGHT FRANK UIJLENBROEK

Selepas itu baharu muncul wira negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang meledak dua gol padang cantik pada minit ke-50 dan 57, membolehkan Speedy Tigers menang dengan keputusan 3-2.

Hasil kecemerlangannya itu, Azrai turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

POTCHEFSTROOM – Piala Negara-Negara FIH: Firhan Ashaari antara tonggak utama negara dalam perlawanan kedua kumpulan B antara Malaysia menentang Kanada./WORLDSPORTPICS COPYRIGHT FRANK UIJLENBROEK

Ketua Jurulatih A.Arulselvaraj berkata, kemenangan itu amat penting namun beliau melihat masalah sama seperti perlawanan pertama menentang Korea Selatan, masih belum diperbetulkan pemain.

“Kemenangan ini besar bagi saya kerana pemain boleh dua kali bangkit dan memenanginya. Cuma agak mengecewakan saya adalah dari segi ‘marking and urgency’ kita untuk beraksi dengan pantas, perlu diperbetulkan segera.

POTCHEFSTROOM – Piala Negara-Negara FIH: Azrai Aizad dipilih pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan dua gol penting buat Speedy Tiger dalam kemenangan 3-2 Malaysia ke atas Kanada./WORLDSPORTPICS COPYRIGHT FRANK UIJLENBROEK

“Esok adalah hari rehat, jadi pemain akan berehat malam ini dan petang esok baru kita lakukan persiapan menghadapi Jepun,” kata Arul.

Hasil kemenangan itu, skuad negara kini menduduki kedudukan ketiga kumpulan B, berkongsi 3 mata dengan Jepun hasil satu kemenangan dan satu kekalahan, manakala Korea Selatan selesa di puncak dengan enam mata.

Malaysia menduduki ranking ketiga kumpulan B, Piala Negara-Negara FIH, berkongsi tiga mata dengan Jepun selepas dua perlawanan.

Justeru, perlawanan menentang Jepun lusa (Khamis) amat penting dan hanya kemenangan dapat memastikan skuad negara ke separuh akhir untuk mengiringi Korea Selatan.

Pencapaian terbaik di saingan Piala Negara-Negara ini amat penting buat Speedy Tigers kerana juaranya akan layak beraksi dalam Pro League FIH musim 2023/2024, sekali gus menamatkan rintihan Arul sebelum ini yang menyatakan skuad negara kekurangan perlawanan berintensiti tinggi.