
Kpah sedia pertahan gelaran mesin gol

PENJARING terbanyak Piala Malaysia musim lalu, Kpah Sherman sedia mempertahankan gelaran yang dimilikinya dan tekad membantu Sri Pahang FC (SPFC) layan ke Piala AFC 2024.
Diperkenalkan secara rasmi selaku tonggak baharu SPFC, Sherman mahu menjadi penyerang digeruni selain percaya dia mampu memperkuatkan barisan hadapan bersama-sama Lucas da Silva.
Dilabel “mesin gol”, pemain dari Liberia, Sherman mengakui harapan tinggi diletakkan atas bahunya dan sudah tentu dengan kualiti yang ada, dia ingin menjadi salah seorang penyerang yang lebih baik kali ini.
“Sudah tentu rasa bagus apabila ada orang yang meletakkan harapan besar kepada kita dan saya harap saya dapat memberikan yang terbaik kepada Pahang dalam Liga Super.
“Saya ingin bekerja lebih keras dan melakukan sedaya upaya melebihi musim lepas, mana tahu mungkin dapat meraih anugerah lagi.

Sherman kini bersama pasukan menyertai perlawanan persahabatan di Thailand. (Foto : Sri Pahang FC)
“Saya memang nak menjaringkan lebih banyak gol, tetapi misi utama adalah bagaimana saya dapat membantu pasukan ini untuk menjadi pesaing yang hebat.
“Salah satunya adalah untuk cuba melayakkan diri ke Piala AFC dan kami semua teruja untuk memulakan saingan liga”, jelasnya.
Mengagumi dengan karakter yang ada pada pengendalinya, Fandi Ahmad membuatkan Sherman berbesar hati untuk berada di bawah bimbingan lagenda Singapura itu.
“Saya memang tahu bagaimana hebatnya jurulatih seperti Fandi dan beliau merupakan seorang yang sangat senang untuk bekerja.
“Beliau juga selalu menghubungi saya sebelum ini dan saya percaya kami semua mampu untuk melakukan sesuatu yang lebih cemerlang,” ujarnya.