PASANGAN beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mahu beri segalanya untuk capai sasaran mereka ke peringkat akhir Perodua Malaysia Masters 2026.
Pasangan beregu nombor dua dunia itu berkata mereka mahu mendapatkan momentum cemerlang dalam kejohanan ini supaya dapat mengekalkan rentak yang sama pada kejohanan seterusnya.
“Saya rasa ya kita harus fokuslah kerana bagi saya, saya rasa boleh dapat result yang baik di tahun ini jadi kita harus kekalkan momentum,” kata Soh Wooi Yik ketika ditemu bual selepas tamat sesi latihan di Unifi Arena.
Selepas kempen Piala Thomas yang menyaksikan mereka terkandas nombor lima dunia dari China, keutamaan mereka kini adalah untuk membina semula keyakinan dan mengekalkan rentak permainan terbaik.
“Ya, kejohanan ini mempunyai saingan sangat tinggi kerana ini adalah kejohanan Super 500.
“Super 500 merupakan satu pertandingan yang mempunyai taraf tinggi jadi kita harus keluarkan apa yang kita ada,” tambah Soh Wooi Yik.
Sementara itu, Aaron Chia turut tidak menolak peluang semua lambakan wakil beregu lelaki negara dalam kejohanan kali ini untuk ke pentas akhir.
Selepas tamat saingan di laman sendiri, jelajah Asia Aaron-Wooi Yik akan diteruskan ke dua lagi kejohanan besar iaitu Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.
Gandingan utama negara itu menegaskan siri kejohanan berturut-turut ini akan digunakan sebaik mungkin untuk menguji tahap konsistensi mereka sebelum memikirkan sasaran jangka panjang yang lain.