PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Yeoh Seng Zoe mencipta kejutan menyingkirkan pilihan keenam dari Jepun, Kanta Tsuneyama untuk mara ke suku akhir Terbuka Taiwan.
Seng Zoe yang beraksi dalam kejohanan terakhirnya sebelum ‘menggantung raket’ bermain dengan baik untuk menang 21-19, 21-15 ke atas Tsuneyama yang juga juara Terbuka Perancis 2021 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Arena Tian-Mu.
Pemain ranking ke-139 dunia itu akan bertemu pemain tuan rumah, Su Li Yang bagi perebutan tiket ke separuh akhir.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, tidak mampu menyaingi gandingan lawan dan tersingkir di pusingan pertama Malaysia Masters./Pix BAM
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaiprapat 21-13, 21-13.
Pilihan keempat kejohanan itu akan berdepan beregu campuran Taiwan yang juga pilihan ketujuh, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang pada aksi suku akhir.

Teoh Mei Xing perlu meingkatkan kemahiran beraksi dalam beregu campuran bersama Hoo Pang Ron.
Satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing turut mara ke kelompok lapan terbaik selepas mengatasi pasangan Korea Selatan, Kim Young Hyuk-Lee Yu Lim 19-21, 21-16, 21-14 dan mereka akan berdepan wakil tuan rumah, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi pemain perseorangan lelaki profesional negara, Cheam June Wei yang tersingkir di pusingan kedua selepas tewas di tangan pemain Hong Kong, Ng Ka Long 14-21, 13-21.