SKUAD hoki lelaki kebangsaan memulakan persiapan menghadapi tiga kejohanan utama antarabangsa apabila seramai 34 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat The Speedy Tigers.
Kem latihan itu diadakan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Piala Negara-Negara, Piala Dunia dan Sukan Asia selepas saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026 direhatkan sementara sehingga Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak berkata, tiga pemain daripada skuad remaja kebangsaan iaitu Safwan Salihe, Rahuul Fazrien dan Nabil Irfan diberi peluang membuktikan kemampuan bersama skuad senior.
Menurut beliau, langkah itu sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan pemain muda supaya lebih bersedia menggalas cabaran di pentas antarabangsa selain merapatkan jurang antara pemain remaja dan senior.
Najmi turut memaklumkan skuad kebangsaan bakal menghadapi pengorbanan besar apabila perlu berkampung selama 41 hari di Afrika Selatan menjelang Kejohanan Piala Negara-Negara dari 11 hingga 20 Jun ini.
Selepas kejohanan itu, The Speedy Tigers dijadual mengharungi lima aksi persahabatan menentang Afrika Selatan sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 14 Julai dan seterusnya berlepas ke Belgium bagi menghadapi Piala Dunia.
Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan, Brendon Carolan menjelaskan pemilihan pemain dibuat berdasarkan prestasi semasa serta tahap kecergasan sepanjang saingan TNB MHL dan sesi latihan pusat.
Beliau menegaskan tiada pemain dipilih berdasarkan reputasi semata-mata, malah pintu skuad kebangsaan sentiasa terbuka kepada mana-mana pemain yang layak diberi peluang.
Carolan turut mengingatkan jadual padat sepanjang musim memerlukan pengurusan kecergasan yang lebih sistematik dengan bantuan pasukan sains sukan dan perubatan bagi memastikan pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.
Antara pemain berpengalaman yang kembali tersenarai termasuk Faizal Saari, Muhammad Marhan Jalil, Faiz Helmi Jali dan Mohd Fitri Saari, manakala beberapa pemain muda daripada TNB Thunderbolts turut mencuri perhatian apabila dipanggil menyertai kem latihan kebangsaan.