PASUKAN Johor Jewels melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara sulung Netball Super League Regional Cup selepas menewaskan Terengganu Marvels 56-48 pada aksi final, sekali gus menghadiahkan trofi edisi pertama kejohanan kepada pasukan dari selatan tanah air itu.
Kejayaan tersebut menjadi pencapaian cukup bermakna buat Johor Jewels yang sebelum ini terlepas gelaran liga utama selepas tewas kepada Terengganu Marvels dalam final NSL musim ini.
Namun, skuad bimbingan Johor itu berjaya bangkit dengan aksi lebih konsisten sepanjang saingan NSL Regional Cup untuk menebus kehampaan berkenaan.
Dalam kempen kejohanan, Johor Jewels turut membuktikan status mereka sebagai antara pasukan terbaik rantau ini apabila berjaya mengatasi cabaran sengit daripada KL Wildcats dan wakil Singapura, Sneakers Singapore.
Aksi final menyaksikan Johor Jewels tampil lebih kemas terutama pada suku ketiga dan keempat untuk memastikan kelebihan mata kekal memihak kepada mereka sehingga tamat permainan.
Kehadiran dua pemain import berprofil tinggi, Gretel Bueta dan Matilda McDonell turut memberi impak besar kepada corak permainan pasukan sepanjang kejohanan.
Lebih manis, Bueta bukan sahaja membantu pasukan menjulang trofi malah turut membawa pulang dua pengiktirafan individu apabila dinobatkan sebagai Best Shooter serta Pemain Paling Bernilai (MVP) kejohanan.