PASANGAN utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap mengekalkan sasaran memburu gelaran dunia kedua mereka meskipun dikecewakan di final Terbuka China, semalam.
Menurut Wooi Yik, mereka agak terkejut dengan prestasi pasangan lawan yang tampil jauh lebih tajam dan agresif berbanding jangkaan awal.
“Kami ada pelan permainan, tapi mereka bermain sangat baik dan tidak banyak yang boleh kami lakukan,” katanya, mengulas kekalahan mengejut kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Sohibul Fikri 15-21, 14-21.
Aaron pula menjelaskan kelebihan utama lawan adalah keupayaan mereka mengawal bulu tangkis dengan sangat baik di gelanggang yang berangin, selain mendominasi tiga pukulan pertama.
“Corak permainan kami dan mereka hampir sama, jadi siapa yang kuasai tiga pukulan pertama akan dapat kelebihan dan mereka lakukan dengan sangat baik hari ini,” katanya.
Bagaimanapun, Wooi Yik optimis mereka masih di landasan terbaik menjelang Kejohanan Dunia di Paris 25 hingga 31 Ogos, dengan tempoh tiga minggu cukup untuk membuat analisis dan persiapan lanjut.
“Matlamat kami tetap emas (juara), tapi kami hanya mahu fokus satu perlawanan demi satu, bukan peduli sangat apa yang orang jangka terhadap kami,” katanya tegas.
Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik muncul juara dunia pada edisi 2022 di Tokyo dan memenangi gangsa di Copenhagen (2023), sudah merangkul 3 kejuaraan tahun ini (Kejohanan Asia, Terbuka Thailand, Terbuka Singapura) selain bergelar naib juara di Terbuka China dan Malaysia Masters.