AKSI tanpa jaringan Selangor FC ketika berdepan skuad jemputan, Asian Warriors, dalam perlawanan persahabatan di Stadium MBPJ malam tadi nyata menggusarkan penyokong setia The Red Giants menjelang pertemuan sulung Liga M menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 8 Ogos ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi, tidak berselindung menyatakan kekecewaannya apabila barisan pemainnya gagal menampilkan aksi sebenar dan terpaksa akur dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan yang dibarisi bekas bintang ternama Asia termasuk Keisuke Honda.

“Kami perlu meningkatkan keampuhan serangan dan para pemain juga harus memperlihatkansemangat serta ketajaman untuk menembusi pertahanan lawan. Ini bukan tahap sebenar yang saya harapkan,” kata Kinoshi yang jelas kecewa dengan keputusan itu.

Menurut beliau, beberapa faktor turut mempengaruhi persembahan hambar pasukannya termasuk strategi penggiliran pemain bagi memberi minit permainan kepada semua serta ketiadaan beberapa pemain utama yang tidak sihat akibat selesema.

Namun begitu, pengendali dari Jepun itu tetap melihat aspek positif daripada perlawanan inidan percaya Selangor masih memiliki masa mencukupi untuk melakukan penambahbaikan menjelang aksi pembukaan menentang JDT yang pastinya bukan tugas mudah.

Dalam pada itu, tonggak baru Selangor, Zack Clough berasa pasukannya tetap berada di landasan tepat sebelum pertemuan dengan JDT dan optimis untuk memberi aksi terbaikmembantu pasukan barunya ini.

“Saya rasa hanya beberapa aspek kami perlu baiki seperti lebih tenang ketika menyerang, mencipta lebih banyak peluang gol dan menyempurnakannya. Hari ini (semalam) kami mencipta beberapa peluang namun gagal menemui sasaran.

“Saya sendiri baru mejalani empat sesi latihan bersama Selangor, jadi saya perlu  memahamicara sesetengah pemain bermain. Kami akan berdepan JDT sebuah kelab yang besar dan kami perlu berada di tahap terbaik berdepan mereka,” kata bekas pemain Nottingham Forrest di Liga Prdana Inggeris ini.