KEBIMBANGAN jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki tentang keadaan cuaca dan sokongan padu penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi kenyataan apabila pemain-pemain sedikit kaku ketika beraksi.

Turun sebagai juara Liga Jepun, Kawasaki Frontale dilihat seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menundukkan JDT dalam perlawanan ketiga Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC semalam.

JDT bermain dengan penuh disiplin dibantu oleh sokongan padu 17,500 penyokong tuan rumah yang menggamatkan Stadium Sultan Ibrahim dan dilihat dapat mengganggu konsentrasi pemain Kawasaki Frontale.

Menurut laman OptaJiro, perlawanan semalam adalah yang pertama Kawasaki Frontale gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat ke gawang lawan sejak Oniki mengambil alih pasukan pada 2017.

Ini jelas menunjukkan kebuntuan barisan Kawasaki Frontale untuk menyusup masuk melepasi benteng JDT yang sangat ampuh dan kental hingga memaksa semua percubaan dilakukan dari luar kotak penalti.

Malah penyerang sensasi mereka, Leandro Damiao dilihat sangat bergelut dan sering melakukan kekasaran terhadap pertahanan JDT hasil dari kekecewaan di atas padang.

Oniki nyata kecewa dengan keputusan seri ini dan mahukan anak buahnya bangkit semula pada pertemuan kedua Ahad ini dan pastinya mereka akan sekali lagi berhadapan dengan penyokong fanatik JDT.

Selepas tiga perlawanan, pasukan pilihan ini jelas bergelut apabila hanya mampu mencatat satu kemenangan dan dua keputusan seri.

Kawasaki Frontale kini di tangga kedua kumpulan dengan lima mata.