OUSMANE Dembele memastikan Barcelona kekal menerajui puncak La Liga dengan perbezaan tiga mata selepas menewaskan Atletico Madrid,1-0 pada perlawanan yang dibayangi aksi tegang pemain kedua-dua pasukan.

Kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain selepas Ferran Torres (Barcelona) dan Stefan Savic (Atletico Madrid) dilayangkan kad merah kerana bergaduh sesama sendiri.

Pemain tengah Barca, Sergio Busquets perlawanan ini adalah sukar namun memuji semangat juang pasukan yang bertahan hingga ke tamat masa perlawanan.

“Kami sangat gembira, Real Madrid telah kehilangan mata  dan ia adalah peluang yang perlu kami ambil.

“Walaupun mereka tampil dengan kuat pada separuh masa kedua, kami tahu bagaimana untuk mengawal permainan. Tiga mata yang sangat bagus,” ujarnya.

Barcelona hanya melepaskan enam gol dalam 16 perlawanan La Liga pertama mereka tetapi Griezmann dua kali hampir menemui gol penyamaan yang diidamkan Atletico.

Kekalahan bermakna Atletico merosot di tempat kelima, 14 mata di belakang pendahulu Barcelona.

“Kami mempunyai permainan yang bagus, selain daripada 25 minit pertama, mengasak dengan baik, mempunyai peluang, tetapi kurang bernasib baik untuk menjaringkan gol.

“Saya fikir kami mempunyai permainan yang baik secara amnya dan kami boleh menjaringkan gol, tetapi bola tidak masuk.

“Bermula dengan teruk, 25 minit pertama kami mempunyai sedikit keyakinan, dan kemudian bangkit, tetapi pada ketinggalan 1-0 ia sudah lebih sukar,” tegas penjaga gol Atletico, Jan Oblak.

Barca kini memimpin La Liga selepas 16 perlawanan dengan meraih 41 mata hasil 13 kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.