KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, meluahkan rasa terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, kerana meluluskan kemasukan Anselmo Moraes.

Kehadiran pemain baharu itu diharapkan dapat memperkuat skuad Harimau Selatan menjelang perlawanan penting AFC Champions League Elite (ACLE) 2024/25 menentang Pohang Steelers.

Bercakap menjelang pertembungan berintensiti tinggi di Stadium Sultan Ibrahim, Bidoglio menekankan kepentingan perlawanan ini serta kesediaan pasukannya.

“Matlamat awal kami adalah untuk layak, dan kini kami mempunyai peluang sebenar. Esok malam, kami perlu menunjukkan gaya permainan kami di hadapan penyokong sendiri,” kata Bidoglio.

Skuad JDT menjalani latihan di Stadium Sultan Ibrahim menjelang aksi penting berdepan Pohang Steelers malam esok.

Bagaimanapun, JDT akan turun tanpa khidmat pemain tengah Sepanyol, Roque Mesa, yang mengalami kecederaan lutut serius. Namun, kehadiran Anselmo Moraes bersama Murilo Cerqueira dan Juan Muniz memberikan lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan.

“Anselmo tiba dua hari lalu, dan seperti mana-mana pemain baharu, dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Tetapi dengan pengalaman luas yang dimilikinya, dia berada di sini untuk membantu pasukan,” tambahnya.

Bidoglio turut memuji profesionalisme serta komitmen para pemainnya, sambil menegaskan bahawa suasana dalam skuad kekal positif.

“Bos (TMJ) sentiasa tahu masa dan situasi yang tepat untuk memberikan motivasi kepada pemain. Kami berada dalam keadaan terbaik, sama ada di dalam atau di luar padang,” ujarnya.

Dengan tiket ke pusingan 16 terbaik menjadi taruhan, JDT pastinya mahu memberikan persembahan menyakinkan kepada Pohang Steelers.

Kelebihan bermain di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ibrahim juga boleh menjadi faktor utama dalam usaha mereka mencipta sejarah dalam kempen ACLE kali ini.

FOTO : JST