KEPUTUSAN terbaru FIFA yang menolak semua rayuan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan kini meninggalkan persoalan besar — adakah pengorbanan Facundo Garcés untuk menyarung jersi Harimau Malaya berbaloi, jika kariernya di Eropah kini musnah sekelip mata?
Pemain pertahanan kelahiran Argentina itu, yang sebelum ini beraksi bersama kelab La Liga, Deportivo Alaves, kini berdepan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak selepas didapati bersalah dalam skandal pemalsuan dokumen bagi tujuan pendaftaran sebagai pemain warisan Malaysia.
Garcés, yang pada awalnya dilihat sebagai antara tonggak masa depan skuad kebangsaan hasil inisiatif naturalisasi pemain berketurunan Malaysia, kini bukan sahaja kehilangan peluang untuk beraksi bersama Harimau Malaya, malah berisiko menamatkan kariernya di Eropah lebih awal daripada dijangka.
Soalnya, di manakah silapnya? Siapa yang harus memikul tanggungjawab apabila seorang pemain profesional sanggup mempertaruhkan reputasi demi memenuhi impian beraksi untuk sebuah negara — hanya untuk terjerumus dalam isu dokumentasi yang mencemarkan nama Malaysia di pentas antarabangsa?
Bagi ramai penyokong, kes ini bukan sekadar tentang hukuman FIFA, tetapi cerminan kepada bagaimana proses pengesahan pemain warisan diuruskan. Dalam usaha mengejar kejayaan segera, Harimau Malaya kini mungkin kehilangan lebih banyak daripada sekadar tujuh pemain — termasuk kepercayaan dunia terhadap integriti bola sepak negara.