PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) digesa tampil lebih telus dengan mendedahkan secara terbuka butiran sebenar mengenai ‘kesilapan teknikal’ yang dikaitkan dengan hukuman penggantungan FIFA terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor merangkap Pengerusi Biro Perundangan Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, menegaskan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan integriti serta kesahihan lebih separuh daripada skuad kebangsaan.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui apakah bentuk kesilapan yang berlaku dan pihak mana yang bertanggungjawab, memandangkan denda yang dikenakan oleh FIFA akhirnya perlu ditanggung menggunakan wang pembayar cukai.
Beliau turut menarik perhatian bahawa hukuman berkenaan berpunca daripada pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA yang merujuk kepada isu pemalsuan dokumen. Justeru, sama ada ia sekadar kesilapan teknikal atau tindakan secara sengaja, ia menjadi elemen penting dalam proses rayuan yang bakal dikemukakan FAM.
“Pendedahan ini juga penting bagi menentukan sama ada keputusan FIFA itu keterlaluan berbanding kesilapan sebenar yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramkarpal menegaskan kegagalan FAM untuk menjelaskan isu berkenaan secara telus boleh menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk persoalan mengenai kesahihan status pemain warisan yang terlibat, sekali gus mencalar imej Harimau Malaya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi, segera mendedahkan fakta sebenar agar keyakinan penyokong dan masyarakat umum terhadap skuad kebangsaan tidak terus terhakis.