MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam tindakan penganjur Warzone World Championship (WWC) yang menggunakan seorang kanak-kanak, Al Fateh, untuk menyampaikan permohonan maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beretika dan memalukan, malah menimbulkan persoalan tentang tanggungjawab sebenar pihak penganjur terhadap isu penganjuran tanpa kelulusan rasmi.

“Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak perlukan anak kecil ini untuk meminta maaf. Anak kecil tidak salah. Penganjur perlu bertanggungjawab,” tegas Hannah di Instagram.

Difahamkan, kejohanan berkenaan dijalankan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti termaktub di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], sekali gus mencetuskan kemarahan ramai.

Dalam kenyataan rasmi, KBS menegaskan bahawa setiap acara sukan antarabangsa wajib mendapat kelulusan PJS bagi menjamin keselamatan, integriti dan pematuhan terhadap peraturan penganjuran.

Susulan itu, PJS akan mengeluarkan surat teguran kepada Persatuan Muay Thai Malaysia dan Malaysia Professional Boxing Federation (MPBF) kerana gagal memastikan penganjur mematuhi undang-undang.

Hannah turut menegaskan KBS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan undang-undang, khususnya dalam acara membabitkan atlet muda dan peserta antarabangsa.

Beliau mengingatkan semua penganjur supaya lebih bertanggungjawab dan mematuhi prosedur kelulusan rasmi, demi menjaga nama baik serta kredibiliti sukan negara di mata dunia.