KRISIS pemain warisan Harimau Malaya terus menghimpit Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas rayuan terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ditolak sepenuhnya oleh Jawatankuasa Rayuan badan induk dunia itu.
Dalam keputusan yang diumumkan awal pagi ini, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. Mereka semua sebelum ini disiasat berhubung dakwaan pemalsuan dokumen bagi tujuan pendaftaran sebagai pemain warisan Harimau Malaya.

FIFA dalam kenyataan rasminya menjelaskan, selepas meneliti semua dokumen rayuan dan menjalankan sesi pendengaran, Jawatankuasa Rayuan memutuskan untuk menolak rayuan yang difailkan oleh FAM dan tujuh pemain tersebut serta mengekalkan sepenuhnya keputusan asal Jawatankuasa Disiplin.
Dengan keputusan ini, FAM wajib menjelaskan bayaran denda kepada FIFA, manakala tujuh pemain berkenaan kekal digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
FAM dan pemain terbabit masih mempunyai tempoh sepuluh hari untuk memohon salinan penuh keputusan bertulis, sebelum diberi masa 21 hari lagi untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland.