TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli Abd Halim melahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan Palestin dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Beliau menegaskan kepentingan sokongan rakyat Malaysia sebagai simbol solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Saya ucap terima kasih terutama sekali buat FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang berhasil menyediakan neutral ground untuk Palestin bersaing untuk kelayakan Piala Dunia peringkat AFC ini,” katanya yang memuji usaha FAM dalam menyokong Palestin melalui penganjuran perlawanan di Malaysia.

Tan Sri Hamidin Mohd Amin Presiden FAM mengiringi Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Adam Adli untuk menyaksikan perlawanan antara Palestin dan Jordan malam tadi.

Adam Adli turut menyatakan rasa syukur atas kehadiran ramai rakyat Malaysia di stadium, yang dilihatnya sebagai tanda sokongan tulen terhadap saudara Palestin.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih juga pada rakyat Malaysia yang turun hadir sebagai penyokong pada second home dan ini adalah satu solidariti pada kawan-kawan kita di Palestin,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa hubungan antara Malaysia dan Palestin akan terus diperkukuhkan, bukan hanya dalam konteks bola sepak tetapi juga dalam aspek pertukaran budaya dan kepakaran sukan.

Kerjasama ini diharapkan dapat diperluaskan ke sukan lain yang sesuai dengan keadaan dan keperluan pihak Palestin.

Adam Adli melahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan Palestin

“Kita banyak bincangkan terutama sekali dalam bentuk cultural exchange antara Malaysia dan Palestin, perpindahan kepakaran dalam belajar latihan sukan. Kita juga harap beberapa sukan yang lain yang kita boleh explore bersama-sama untuk kesesuaian dan kesediaan pihak daripada Palestin,” tambahnya.

Adam Adli turut menekankan bahawa bola sepak akan menjadi fokus utama buat masa ini dalam usaha kerjasama antara Malaysia dan Palestin.

“Kita bagi tumpuan sekarang memang pada bola sepak lah pertama sekali menerusi kerjasama bersama FAM, selepas ini kita akan tingkatkan lagi,” katanya.

Perlawanan antara Palestin dan Jordan ini bukan sahaja menyaksikan persaingan sengit di padang, malah juga mengukuhkan lagi ikatan persahabatan antara rakyat Malaysia dan Palestin dalam semangat kesukanan dan solidariti.