Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dan presidennya, Claudio Tapia dilaporkan menjadi subjek siasatan awal oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) serta Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung dakwaan salah laku kewangan dan penipuan melibatkan transaksi antarabangsa.

Menurut beberapa laporan media di Argentina, pihak berkuasa Amerika Syarikat sedang meneliti aliran dana yang melalui sistem perbankan negara itu bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur penipuan kewangan atau pengubahan wang haram.

Siasatan berkenaan dikatakan memberi tumpuan kepada beberapa urusan komersial antarabangsa AFA di bawah pentadbiran Tapia, termasuk hubungan badan induk itu dengan syarikat TourProdEnter LLC yang menguruskan kutipan dana bagi kontrak luar negara.

Antara aspek yang sedang disiasat ialah transaksi kewangan bernilai lebih AS$300 juta yang didakwa melibatkan beberapa institusi kewangan utama di Amerika Syarikat seperti Citibank, Bank of America dan JP Morgan.

Ketika skuad Argentina meneruskan kempen Piala Dunia dengan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Mesir pada pusingan 16 terbaik, laporan menyebut pasukan penyiasat turut mendapatkan keterangan daripada beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan pengurusan AFA.

Difahamkan, pihak penyiasat mengadakan sesi temu bual secara persidangan video bersama ahli perniagaan Guillermo Tofoni di Miami bagi mendapatkan maklumat berhubung pentadbiran Tapia serta bendahari AFA, Pablo Toviggino.

Siasatan itu juga bertujuan menentukan sama ada transaksi yang dilakukan ketika Argentina melaksanakan kawalan mata wang yang ketat melanggar mana-mana undang-undang persekutuan Amerika Syarikat.

Dalam reaksi awal, wakil AFA di Amerika Utara, Tomas Regalado mengingatkan bahawa siasatan awal tidak bermaksud mana-mana individu atau organisasi telah didapati bersalah.

“Langkah siasatan awal semata-mata tidak menentukan sebarang pertanggungjawaban atau kesalahan,” katanya.

Sehingga kini, pihak DOJ dan FBI masih mengumpul bukti dan belum memfailkan sebarang pertuduhan rasmi terhadap AFA atau mana-mana pegawainya.

Walaupun berdepan tekanan di luar padang, Tapia dilaporkan kekal berada di Amerika Syarikat bagi mengiringi skuad Argentina yang akan berdepan Switzerland dalam aksi suku akhir Piala Dunia.