Terengganu FC terus memperkukuhkan skuad menjelang saingan Liga Malaysia musim 2026/27 apabila mengumumkan kepulangan pemain tengah antarabangsa Filipina, Manuel Ott.

Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan di semua platform media sosial rasmi kelab, sekali gus menyaksikan Ott kembali menyarung jersi Sang Penyu buat kali ketiga dalam kariernya.

Pemain berusia 34 tahun itu bukanlah nama asing buat penyokong Terengganu selepas pernah beraksi bersama kelab itu pada musim 2022 sebelum berhijrah ke Kedah pada 2023 mengikuti bekas ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Ott kemudian kembali ke Terengganu pada pertengahan musim 2024 sebelum meneruskan karier di Thailand bersama Rayong FC bagi kempen musim lalu.

Bersama Rayong FC, bekas kapten Kedah itu membuat 30 penampilan dalam saingan Liga Thailand dengan menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan.

Kepulangan Ott dijangka menambah pengalaman serta kestabilan di bahagian tengah pasukan, selain berpotensi membentuk kombinasi mantap bersama Akram Mahinan dan pemain import dari Tajikistan, Ekhson Pandzhshanbe.

Pengalaman luas pemain itu di pentas antarabangsa bersama Filipina serta aksi kompetitif di Liga Malaysia dan Liga Thailand diharap mampu membantu Terengganu FC mengharungi cabaran musim baharu dengan lebih konsisten.

Kehadiran semula Ott turut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Terengganu FC memperkukuhkan skuad di bawah kendalian Nafuzi Zain dalam misi kembali mencabar kejuaraan musim 2026/27.