Kredit Gambar: RTM

JAGUH angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Komanwel 2026 selepas muncul juara acara 60 kilogram (kg) lelaki dengan jumlah angkatan 273 kilogram (kg), sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenanginya di Birmingham empat tahun lalu.

Aniq memulakan saingan dengan cemerlang apabila melakukan angkatan 121kg dalam disiplin snatch sebelum mengesahkan emas menerusi angkatan 152kg dalam clean and jerk untuk mengumpul keseluruhan 273kg.

Pingat perak menjadi milik atlet India, Rishikanta Singh Chanambam yang turut melakukan angkatan 121kg dalam snatch, namun sekadar mencatat 143kg dalam clean and jerk untuk jumlah keseluruhan 264kg, manakala gangsa dimenangi wakil Kenya, Joshua Amunga Mboya menerusi angkatan 115kg (snatch) dan 145kg (clean and jerk) dengan keseluruhan 260kg.

Lebih manis, Aniq turut menyamai rekod temasya bagi disiplin snatch menerusi angkatan 121kg, rekod yang terlebih dahulu dipecahkan oleh Rishikanta selepas rekod asal Sukan Komanwel bagi kategori 60kg ditetapkan pada 113kg. Angkatan 121kg itu sekali gus menjadi rekod baharu temasya yang kini dikongsi kedua-dua atlet.

Kejayaan itu mengesahkan status Aniq sebagai antara pengangkat berat terbaik Komanwel selepas turut menghadiahkan emas pertama Malaysia pada edisi Birmingham 2022 menerusi kategori 55kg dengan jumlah angkatan 249kg.

Pada temasya di Birmingham, Aniq mencatat 107kg dalam snatch sebelum melakukan angkatan 142kg dalam clean and jerk, yang ketika itu menjadi rekod temasya, untuk menewaskan wakil India, Sanket Mahadev Sargar dengan kelebihan hanya satu kilogram.

Pingat emas diraih Aniq juga menjadi tonik penting buat kontinjen negara selepas Malaysia membuka kutipan pingat menerusi Bonnie Bunyau Gustin yang meraih gangsa dalam acara para powerlifting kategori lightweight lelaki, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kini memiliki satu emas dan satu gangsa di Glasgow, dengan Aniq sekali lagi membuktikan dirinya sebagai sandaran utama negara dalam acara angkat berat di pentas Komanwel.