Kredit Gambar: AHMAD YUSNI / POOL / AFP
PENANTIAN hampir sedekad peminat sukan permotoran tanah air akhirnya berakhir apabila Malaysia sah kembali menjadi tuan rumah Formula Satu (F1) menerusi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan menyambut baik pengumuman rasmi Formula 1 itu sambil menyifatkan penganjuran berkenaan sebagai bukti hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain, selain mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab penganjuran acara sukan bertaraf dunia.
KBS turut menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta merakamkan penghargaan kepada Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa atas hubungan akrab dan kepercayaan yang membolehkan perlumbaan berprestij itu dianjurkan di Malaysia.
Menurut kementerian itu, kerjasama erat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran perlumbaan berkenaan.
“KBS menghargai hubungan erat serta kerjasama kukuh antara YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Salman bin Hamad Al Khalifa yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan penganjuran perlumbaan ini di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
KBS memaklumkan beberapa siri perbincangan mendalam diadakan antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain dan Formula 1 sejurus menerima makluman awal mengenai kemungkinan Sepang dipilih sebagai tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.
Litar Antarabangsa Sepang sebelum ini mempunyai rekod cemerlang sebagai tuan rumah Grand Prix Malaysia selama 19 tahun berturut-turut dari 1999 hingga 2017, dan kepulangan Formula 1 dijangka mengubat kerinduan peminat tempatan yang sekian lama menantikan aksi perlumbaan paling berprestij dunia itu kembali ke negara ini.
KBS berkata, menerusi SIC, pihaknya komited memastikan perlumbaan berlangsung mengikut piawaian tertinggi Formula 1 bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pasukan, pelumba dan peminat dari seluruh dunia.
Selain mengembalikan kemeriahan Formula 1 ke Sepang, penganjuran itu dijangka memberi limpahan ekonomi menerusi sektor pelancongan, pelaburan dan industri hospitaliti, di samping memperkukuh ekosistem sukan permotoran negara serta meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran acara sukan antarabangsa.