PERSIAPAN skuad ragbi wanita negara ke Kejohanan Ragbi Asia 7 sebelah (ARSS), bermula dengan perlawanan ujian menentang Singapura.

Aksi perlawanan ujian di Stadium Jurong Barat, Singapura, selama dua hari bermula hari ini, bukan hanya menjadi ujian bubat 27 pemain ragbi wanita 7 sebelah yang terpilih, malah ujian besar buat pengendali baru pasukan, Siddiq Jalil, yang mula mengambil alih pasukan terbabit bulan lalu.

Siddiq, 29, bekas tonggak lelaki negara yang meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, selain turut beraksi di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Menurut Siddiq, dia kini diberi tugasan untuk menyediakan pasukan bagi menghadapi Kejohanan Siri Ragbi Asia 7 sebelah (ARSS) yang akan berlangsung di Bangkok Thailand 22 hingga 23 Oktober depan.

“Cabarannya adalah mempersiapkan pasukan dari segi teknikal dan taktikal yang diterapkan dalam program latihan dan persiapan yang teliti untuk para pemain agar mereka berada di tahap tertinggi menjelang tugasan yang akan datang.

 

“Seperti sedia maklum hampir 70 peratus senarai pemain melapor diri kali ini adalah pemain muda yang disenarai berdasarkan prestasi mereka di Sukan Malaysia (SUKMA) baru baru ini, jadi saya memberi mereka ruang untuk menyinar,” kata Siddiq.

Tidak dinafikan, cabaran getir menanti Siddiq jika prestasi pasukan wanita pada musim lalu dijadikan ukuran.

Pada musim lalu, skuad wanita negara berhempas pulas menyaingi beberapa asukan ternama Asia dan menamatkan aksi di kedudukan ketujuh dan hanya berjaya menewaskan musuh serantau, Filipina.

“Sasaran adalah memperbaiki ranking pasukan dari edisi lalu dan seterusnya untuk kekal berada dalam kelompok lapan terbaik yang akan bertanding di ARSS kali ini,” kata Siddiq lagi.