Kredit Gambar: MSN Malaysia
Jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin terus mengukir nama dalam sejarah sukan Malaysia apabila muncul atlet pertama negara meraih tiga pingat emas berturut-turut di Sukan Komanwel selepas menjuarai acara 65 kilogram (kg) lelaki di Glasgow 2026.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan atlet berusia 32 tahun tersebut mempertahankan dominasinya selepas sebelum ini memenangi emas kategori 62kg di Gold Coast 2018 dan kategori 61kg pada Birmingham 2022.
Lebih membanggakan, Aznil bukan sahaja mempertahankan gelaran, malah memecahkan tiga rekod temasya menerusi angkatan keseluruhan 299kg hasil 133kg dalam acara snatch dan 166kg dalam clean and jerk.
Dalam aksi di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo, Aznil membuka saingan dengan angkatan 130kg dalam percubaan pertama snatch sebelum memperbaiki catatan kepada 133kg pada percubaan kedua untuk mencipta rekod baharu temasya. Percubaan ketiganya pada 135kg bagaimanapun tidak berjaya.
Aksi cemerlang diteruskan dalam disiplin clean and jerk apabila beliau mengangkat 162kg pada percubaan pertama sebelum memperbaharui rekod itu menerusi angkatan 166kg pada percubaan kedua. Cubaan terakhir mengangkat 170kg tidak berjaya, namun catatan 166kg sudah memadai untuk mengesahkan kejuaraan.
Pingat perak dimenangi wakil India, Raja Muthupandi yang mencatat jumlah angkatan 286kg menerusi 126kg dalam snatch dan 160kg dalam clean and jerk.
Gangsa pula menjadi milik atlet Papua New Guinea, Morea Baru yang mengumpul keseluruhan 282kg hasil angkatan 125kg dalam snatch dan 157kg dalam clean and jerk.
Kejayaan Aznil menghadiahkan pingat emas kedua buat kontinjen negara di Glasgow, sekali gus meneruskan kecemerlangan skuad angkat berat Malaysia selepas Mohamad Aniq Kasdan turut muncul juara dalam kategori 60kg lelaki.
Selain dua emas menerusi acara angkat berat, Malaysia turut menambah dua lagi pingat gangsa hasil sumbangan Irene Jane Henry dalam kategori 48kg wanita serta jaguh para powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dalam acara lightweight lelaki.
Dengan pencapaian bersejarah itu, Aznil bukan sahaja mempertahankan statusnya sebagai juara Komanwel, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pengangkat berat terbaik yang pernah dimiliki Malaysia.