DUA tahun lalu, Muhammad Aqil Naufal Zahiran pernah tular, nekad bertongkat berlari menyempurnakan larian 100 meter, namun semalam, semangat luar biasanya kembali membakar inspirasi ramai apabila menjadi pencetus kepada peruntukan khas RM30,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha memperkasa sukan orang kurang upaya (OKU).

Kelibat Aqil dalam Malaysian Amputee Football Junior and Women Camp di EV Arena Elmina bukan sekadar mengimbau kisah viralnya pada 2023, tetapi membuktikan bahawa satu jiwa kental boleh membuka jalan besar buat ribuan lagi OKU yang selama ini mungkin tidak yakin menyertai arena sukan.

Hannah turun padang memberi sokongan kepada golongan OKU.|FOTO FB Hannah Yeoh

Menerusi perkongsian di Facebook rasmi, Menteri di KBS Hannah Yeoh berkata, beliau mahu program sedemikian diperkasakan lagi selepas ini.

“Saya amat menyokong inisiatif seperti ini, dan atas semangat yang ditunjukkan oleh peserta termasuk Aqil, saya mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM30,000 untuk memperkasakan lagi program sebegini,” kata Hannah yang turut turun padang meninjau kem anjuran Persatuan Bola Sepak Amputee Malaysia (MAFA).

Peruntukan disalur KBS memanfaatkan lebih ramai golongan OKU.|FOTO FB Hannah Yeoh

Pada Ogos 2023, Aqil menjadi perhatian negara apabila rakaman videonya menyempurnakan larian 100m menggunakan tongkat sempena Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSD Jerantut tular di media sosial.

Kini, selepas mendapat kaki palsu, Aqil bukan sekadar bergerak lebih lancar, malah sudah menyertai sukan amputee football, berkongsi semangat dan menjadi pemangkin keyakinan buat rakan-rakan OKU lain termasuk golongan wanita yang turut mengambil bahagian dalam kem ini.

Meriah program Malaysian Amputee Football Junior and Women Camp. |FOTO FB Hannah Yeoh

Penganjuran kem ini juga selari dengan prinsip “No One Is Left Behind” yang menjadi tunjang dasar KBS dalam memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk OKU diberikan akses sama rata dalam pembangunan sukan negara, tanpa diskriminasi fizikal atau gender.