PEJABAT Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan memanggil Presiden Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTKLAA) Datuk Seri Dr V. Pulainthiran, minggu ini bagi mendapatkan bukti susulan dakwaan pindaan perlembagaan Olahraga Malaysia (MA), sehingga membolehkan Datuk Karim Ibrahim dipilih semula sebagai Presiden MA bagi penggan 2025-2028.
Pesuruhjaya Sukan, Arrifin Mohd Ghani, mengesahkan pihaknya sudah menerima aduan rasmi daripada Presiden Olahraga KL dan siasatan awal kini sedang dijalankan bagi meneliti dakwaan yang dikemukakan.
“Kita akan panggil pengadu, Presiden FTKLAA dalam masa terdekat untuk dapatkan bukti dan penjelasan lanjut, sebab setakat ini kita belum terima sebarang dokumen sokongan,” katanya.

Datuk Karim Ibrahim dilantik semula sebagai Presiden MA, Jun lalu.
Arrifin menjelaskan, setiap aduan yang diterima PJS perlu disertakan bukti kukuh sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil terhadap mana-mana persatuan sukan yang terbabit.
“Kalau ada bukti, barulah kita boleh minta penjelasan daripada Olahraga Malaysia pula, sebab semua tindakan mesti berasaskan perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, isu pindaan perlembagaan bukan perkara baharu, namun: “Kalau pindaan dibuat, ia perlu dihantar kepada PJS untuk semakan dan kelulusan, sebelum diterima sebagai sah,” jelasnya ketika dihubungi.
Arrifin menegaskan, PJS akan meneliti kes ini secara menyeluruh, namun keutamaan kini ialah mendapatkan bukti dan keterangan penuh daripada pengadu sebelum tindakan susulan diambil terhadap Olahraga Malaysia.