MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyambut baik langkah agresif Akuatik Malaysia (MAS) memburu perenang berstatus warisan yang mampu memperkukuh skuad renang kebangsaan menjelang saingan besar akan datang.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin menyifatkan pendekatan itu bukan perkara baharu kerana sudah lama diamalkan negara jiran seperti Filipina yang mula ‘mengimport’ bakat warisan ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2019.

“Langkah ini bagus dan tidak asing lagi. Filipina sendiri sudah lama guna kaedah ini dan mereka berjaya temui ramai atlet berpotensi yang ada darah Filipina di luar negara,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mestuarat Agung Tahunan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) hari ini.

Menurut Jefri, MSN kini menunggu senarai rasmi atlet warisan yang dikenal pasti oleh MAS sebelum memutuskan tindakan lanjut termasuk proses pemilihan, penilaian dan kemungkinan dimasukkan ke dalam program pembangunan sedia ada.

Menariknya, Jefri turut menegaskan kehadiran atlet luar ini tidak akan membebankan kewangan MSN mahupun MAS kerana semua atlet tetap perlu melalui tapisan ketat termasuk syarat program Podium dan kelayakan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kita memang ada atlet yang tinggal di luar negara. Tapi bantuan hanya diberi jika mereka lepasi kriteria. Jadi, tiada isu beban kewangan. Mereka bukan masuk ‘free ticket’,” katanya.

Pada AGM MAS semalam, Timbalan Presiden badan induk akuatik negara, Marilyn Chua mendedahkan pihaknya sudah memulakan inisiatif mengenal pasti perenang warisan yang ada pertalian darah dengan Malaysia, termasuk menghubungi atlet luar negara dan menerima respons yang cukup positif.