UNIVERSITI Auburn penentu Azeem Fahmi beraksi di Sukan SEA Thailand apabila segala keputusan bergantung kepada lampu hijau pihak pengurusan dan jurulatihnya di Amerika Syarikat.
Ketua jurulatih olahraga negara, Manshahar Abdul Jalil berkata, beliau menyimpan harapan tinggi untuk melihat pelari sensasi itu kembali menyarung jersi negara di temasya dwitahunan berprestij itu.
Katanya, nama Azeem sudah dimasukkan dalam tiga acara iaitu 100 meter, 200 meter dan 4×100 meter namun jadual akademik, program latihan serta komitmen kejohanan di AS menjadi penentu.

Mohd Manshahar Abdul Jalil yakin dengan potensi p3lari pecut negara.
“Azeem adalah aset berharga negara, kalau dia dapat pulang ia adalah satu khabar gembira, tapi kita tak boleh paksa kerana dia terikat dengan kontrak di Auburn,” tegasnya, ditemui di Wisma MOM hari ini.
Manshahar memaklumkan Azeem akan pulang ke AS dalam masa terdekat sebeljm kembali berbincang lanjut, dengan MSN dan Olahraga Malaysia (MA) yang dijangka menjadi rundingan mencari jalan penyelesaian.
Sekiranya pelari berusia 22 tahun itu tidak dapat ke Bangkok, Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia hujung Ogos ini akan menjadi medan pemilihan mencari pengganti.
“Peluang terbuka untuk semua pelari pecut, kita ada pelan A dan pelan B, yang pasti pasukan negara akan turun dengan barisan terkuat,” katanya.