PEMAIN ternama Johor Darul Ta’zim, Arif Aiman Hanapi selamat mendirikan rumah tangga apabila sah bergelar suami kepada pilihan hatinya, Nurul Aliah Natasha Md Hairushahri dalam majlis akad nikah yang berlangsung hari ini.
Majlis pernikahan pasangan itu difahamkan diadakan dalam suasana sederhana tetapi penuh bermakna di Johor Bahru dengan kehadiran ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Perkhabaran gembira tersebut pantas menjadi perhatian penyokong bola sepak tempatan selepas beberapa gambar dan video majlis mula tular di media sosial.
Menerusi perkongsian di media sosial yang dimuat naik, Arif dan pasangannya tampil segak serta anggun mengenakan persalinan serba putih, sekali gus menyerlahkan seri pasangan pengantin baharu itu.
Detik paling mencuri perhatian sudah tentu apabila pemain berusia 24 tahun itu dilihat tidak dapat menahan sebak selepas selesai melafazkan akad nikah sebelum memeluk ibunya dalam suasana penuh emosi.
Momen berkenaan nyata menyentuh hati ramai peminat yang mengikuti perkembangan majlis tersebut di media sosial, selain dibanjiri ucapan tahniah dan doa buat pasangan terbabit.
Majlis resepsi pasangan itu dijangka berlangsung pada sebelah malam dan dikatakan bakal dihadiri beberapa tetamu kenamaan termasuk Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, kad undangan perkahwinan Arif yang tersebar di media sosial sudah terlebih dahulu mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong Harimau Selatan dan peminat bola sepak tanah air.
Arif kini dianggap antara pemain paling penting buat JDT dan skuad kebangsaan selepas mempamerkan prestasi konsisten sejak beberapa musim lalu, selain terus menjadi antara pemain muda paling berpengaruh dalam bola sepak Malaysia.
Sumber Gambar: Embunjb