Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden kontroversi yang berlaku dalam aksi final regu berpasukan lelaki antara Malaysia dan Thailand pada saingan ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026.

Menurut badan induk sepak takraw dunia itu, insiden tercetus ketika aksi regu ketiga apabila pengadil perlawanan menghadiahkan kesalahan “centre line infringement” terhadap pemain Thailand berdasarkan undang-undang permainan ISTAF.

Susulan keputusan tersebut, pasukan Thailand dikatakan meminta semakan cabaran dilakukan, namun pengadil memaklumkan bahawa kesalahan melibatkan garisan tengah tidak termasuk dalam skop sistem semakan yang digunakan ketika ini.

ISTAF dalam kenyataannya turut menjelaskan bahawa pegawai perlawanan sudah memberikan beberapa penjelasan kepada pasukan Thailand, namun mereka enggan meneruskan perlawanan dan tidak kembali ke gelanggang dalam tempoh masa yang dibenarkan mengikut peraturan pertandingan.

Berikutan itu, pengadil perlawanan membuat keputusan mengisytiharkan perlawanan tersebut sebagai kemenangan percuma buat Malaysia selaras dengan buku panduan teknikal serta peraturan rasmi kejohanan.

Dalam masa sama, ISTAF menegaskan semua pengadil dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas secara profesional, adil dan bebas mengikut undang-undang permainan.

Badan induk itu turut mengingatkan bahawa mana-mana pasukan yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pengadil perlu menggunakan saluran bantahan rasmi yang disediakan dan bukannya dengan cara enggan meneruskan permainan.

Kes berkenaan kini dirujuk kepada badan disiplin berkaitan untuk penelitian lanjut memandangkan ia melibatkan disiplin pertandingan serta tingkah laku pegawai dan pemain dalam perlawanan final antarabangsa.

ISTAF turut menegaskan komitmen mereka untuk terus melindungi integriti sukan sepak takraw selain memastikan profesionalisme pengadilan dan semangat fair play sentiasa dipelihara dalam setiap kejohanan yang dianjurkan badan itu.