KUALITI kepimpinan Tunku Mahkota Ismail terus memacu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT)  meraih kejayaan demi kejayaan sekaligus menjulang nama bola sepak negara di persada dunia.

Kemenangan JDT menjuarai Piala Malaysia itu membuktikan dominasi mereka selepas menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menjulang piala berprestij itu empat kali berturut-turut.

Kualiti tersebut jelas dipamerkan apabila setiap bait kata daripada Tunku Mahkota Ismail berjaya menyemarakkan api perjuangan dalam wira Harimau Selatan untuk berjuang habis-habisan di atas padang.

Sebelum perlawanan tersebut bermula, pemilik JDT mengingatkan para pemain bahawa semua orang hanya akan mengingati bagaimana pasukan Harimau Selatan beraksi pada perlawanan terakhir.

“Kalau kamu semua menang malam ini, kamu akan jadi pasukan pertama dalam negara yang memenangi Piala Malaysia empat kali berturut-turut,” ujar Tunku Mahkota Ismail.

Di sebalik memburu trofi, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa perkara yang lebih penting adalah membuktikan JDT ialah sebuah pasukan yang tidak akan pernah berhenti berjuang, dan akan sentiasa bangkit semula setiap kali rebah.

“Tunjukkan kepada mereka bahawa logo di dada ini melambangkan tuntutan, prestasi dan karakter.

“Kita bukan sekadar pasukan dan apa yang kelab ini berjaya lakukan sejak 2013 adalah satu ‘movement’,” tambah Tunku Mahkota Ismail.

Di bawah naungan Tunku Mahkota Ismail, JDT telah menjelma sebagai satu kuasa besar selepas berjaya merajai kancah domestik dan Asia dengan rekod 12 kali Juara Liga Super, 7 kali menjulang Piala Malaysia, 6 kejuaraan Piala FA, 9 kejuaraan Piala Sumbangsih serta satu trofi agung Piala AFC.

Kejuaraan demi kejuaraan mengukir legasi Tunku Mahkota Ismail sebagai arkitek utama memacu transformasi JDT menjadi kelab yang terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Sumber Gambar: Facebook Rasmi JOHOR Southern Tigers