PERAK FC tidak tercicir untuk memperkuatkan lagi benteng terakhir mereka bagi menghadapi saingan bola sepak musim 2024/2025.

Mohamad Ramadhan Ab Hamid selaku penjaga gol yang cemerlang dalam ketangkasannya sah meninggalkan PDRM FC dan menyertai barisan penjaga gawang Perak FC.

Perkara ini telah disahkan sendiri menerusi satu hantaran yang dimuat naik ke laman rasmi Instagram Perak FC yang menyatakan kehadiran penjaga gol berusia 29 tahun itu ke dalam pasukan Perak FC musim ini.


Walau bagaimanapun, ketiadaan Ramadhan dalam skuad The Cops mungkin tidak begitu mendatangkan kesan buat PDRM kerana mereka masih mempunyai bakat penjaga gol muda seperti Nor Hakeem Hamidun dan juga Muhamad Aqil Razak.

Sementara itu, Perak FC turut mengumumkan bahawa barisan pertahanan mereka akan ditajamkan lagi dengan sentuhan Ariff Ar-Rasyid Ariffin.

Ariff sebelum ini telah bersama dengan pasukan Kelantan United FC sekali gus menampilkan aksi yang baik namun gagal merekodkan sebarang gol dalam keseluruhan 14 perlawanan.

Walau bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu mempunyai kepakaran dari segi beraksi di posisi bek tengah dan kanan selain bermain sebagai pertahanan tengah pasukan.