PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) cukup bersedia untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala FA 2022 di antara Terengganu FC dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Faidz Sanusi berkata, pihaknya akan mengambil langkah sesuai dalam memastikan bukan hanya fasiliti malah keadaan padang SNBJ di tahap terbaik pada hari perlawanan.

Jelasnya, beliau menyambut baik keputusan MFL itu yang memilih SNBJ yang turut dikenali sebagai ‘Home of Harimau Malaya’ sebagai venue perlawanan akhir Piala FA buat kali ke-12 sejak kali pertama penganjuran pada 1990.

“Ini berita yang amat baik bukan sahaja kepada PSM selaku tuan rumah malah buat semua penyokong JDT dan Terengganu FC yang akan hadir untuk merasai bahang final Piala FA di SNBJ. Bagi pihak PSM kami amat mengalu-alukan kerjasama dengan MFL bagi penganjuran perlawanan akhir ini yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi jenama SNBJ sebagai hub sukan terbaik negara.

“Dalam memastikan kelancaran penganjuran final Piala FA itu, sudah pasti pihak PSM akan mengambil langkah-langkah tertentu dalam memastikan fasiliti-fasiliti di stadium di tahap terbaik termasuk juga keadaan padang. Sejak penganjuran pusingan kelayakan Piala Asia Jun lalu, padang SNBJ sudah tidak digunakan untuk sebarang aktiviti bola sepak dan dalam masa ke semasa kita akan menjalankan kerja-kerja penjagaan padang menjelang perlawanan akhir itu nanti,” katanya.

Jaminan diberikan oleh PSM ini pasti melegakan bukan sahaja buat kedua-dua pasukan finalis malah penyokong tempatan yang amat mengharapkan satu pertembungan epik dan menghiburkan dapat disajikan pada perlawanan itu nanti.

Ini kerana, ada pihak bimbang dengan kualiti padang SNBJ yang teruk dikecam ketika menjadi venue bagi perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia Jun lalu.

Susulan daripada itu, PSM giat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan yang melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan bumbung, pembaikan tandas serta pemeriksaan forensik bagi keseluruhan struktur bangunan dan facade SNBJ sebelum kerja-kerja penggantian rumput dimulakan.

PSM meluluskan permohonan MFL untuk menggunakan SNBJ bagi aksi final Piala FA selepas mereka melakukan pemeriksaan bersama wakil Terengganu FC dan JDT berhubung kondisi padang SNBJ pada 12 Ogos lalu.