PASUKAN badminton lelaki negara, berada di landasan tepat mempertahan kejuaraan dua tahun lalu, apabila diundi dalam kumpulan B, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang bakal berlangsung 13 hingga 18 Februari ini, di Setia Alam, Selangor.
Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, diundi satu kumpulan bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei, adalah satu kelebihan buat skuad lelaki neagra.
“Sebagai tuan rumah, saya beritahu pemain supaya fokus dan ini juga peluang buat pemain kita yang tidak meraih sebarang gelaran pada Terbuka Malaysia.
“Inilah masanya untuk mereka berjuang, berbangga beraksi laman sendiri dan membuat peminat berasa bangga hadir memberi sokongan,” kata Rexy, sejurus tamat undian yang berlangsung di Shah Alam.

Pasukan lelaki negara mendapat undian yang baik dalam misi mempertahan trofi kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang akan berlangsung di Setia Alam 13-18 Februari ini.
Turut diumumkan pada majlis itu adalah pengesahan Setia Group sebagai satu lagi penaja baharu kejohanan.
Pada majlis undian terbabit, China selaku pilihan utama diundi dalam kumpulan A, bersama India dan Hong Kong.
Indonesia yang juga pilihan kedua berada dalam kumpulan D bersama Korea Selatan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, manakala Jepun dalam kumpulan dalam Kumpulan C bersama Thailand, Singapura dan Myanmar.

Lee Zii Jia sekali lagi memimpin pasukan lelaki negara pada Kejohanan Badmminton Berpasukan Asia 2024.
Skuad lelaki negara akan diperkuat pemain perseorangan yang diketuai Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe, manakala beregu pula Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.
Skuad lelaki menjuarai edisi lalu BATC yang dianjurkan pada 2022, di Selangor.

Skuad wanita juga berpeluang cerah untuk mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2024.
Sementara itu, skuad wanita mendapat undian agak baik namun Rexy meminta peminat agar lebih realistik berikutan pasuukan lain memiliki barisan pemain yang berkualiti.
Skuad wanita berada dalam kumpulan Y bersama pasukan pilihan Thailand, dan UAE, manakala pilihan utama China, dalam kumpulan W bersama India.
Pilihan kedua, Jepun pula dalam kumpulan Z bersama Taiwan dan Singapura, manakala satu lagi pilihan ¾, Indonesia dalam kumpulan X bersama Hong Kong dan Kazakhstan.