ATLET muda snuker, Muhammad Afiq Abdullah meninggal dunia dalam satu kemalangan yang berlaku awal di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) awal pagi Rabu.

Berita sedih mengenai kematian Afiq,13, dikongsikan oleh Presiden Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (MSBF) Melvin Chia.

“Saya dikejutkan dengan berita sedih menerima panggilan pada pukul 3.30 pagi daripada Mustafa, Pengarah Kejohanan B-21 Kejohanan Snuker Junior (sedang berlangsung bermula 18-23 Disember 2023 di Seremban).

“Afiq, bakat muda yang banyak menyumbangkan kepada sukan ini sejak berusia sembilan tahun, namun kini tiada lagi.

“Yang tinggal hanya banyak kenangan manis dan pencapaian peribadi yang memukau sejak dia menjejakkan kaki ke sukan ini. Malangnya, bintang kecil yang bersinar ini tidak dapat bersinar lagi, ia hilang, hilang selama-lamanya.

”“Dia telah menunjukkan potensi untuk dimasukkan sebagai atlet junior negara ke dalam program pembangunan baharu yang telah saya bincangkan dengan MSN (Majlis Sukan Negara) minggu lepas.

Timbalan Presiden MSBF Datuk Mohamed Anis Hisham Abdul Aziz bergambar bersama Afiq dalam satu kejohanan sebelum ini.

“Saya bercadang untuk memasukkannya ke sekolah berasrama penuh di Bukit Jalil bersama beberapa lagi atlet muda lain untuk memulakan program pembangunan baharu mulai tahun depan dan ibu bapanya juga telah bersetuju dengan cadangan itu.

“Satu kehilangan besar buat sukan ini, MSBF dan juga negara,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dalam satu kenyataan berkata pihaknya menjawab panggilan kemalangan jalan raya pada 2:39 pagi, melaporkan kejadian di Lekas ​​dari arah Senawang menghala ke Jalan Pantai Jelebu.

“Sebuah kereta Honda City yang dinaiki lima penumpang merempuh longkang di tepi jalan. Afiq dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa lain termasuk dua lelaki, seorang wanita dan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun, yang kesemuanya mengalami kecederaan.

“Mangsa yang cedera segera dibawa untuk menerima rawatan perubatan, sementara pihak berkuasa memulakan siasatan mereka terhadap keadaan sekitar nahas tragis itu,” jelas kenyataan tersebut.