PELUMBA lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir berkongsi detik kegembiraan bersama keluarga tercinta apabila terpilih mewakili Malaysia ke temasya Olimpik Paris 2024.
Impian yang bakal menjadi realiti itu akan dimanfaatkan sehabis mungkin oleh pelumba kelahiran Terengganu sejurus ianya merupakan kejohanan dunia pertama yang pernah diceburi oleh Aisyah.
“Sememangnya perkara ini merupakan satu benda di luar jangkaan saya dan saya sangat bersyukur kerana terpilih untuk membawa nama Malaysia.
“Ya sudah pasti saingan di Olimpik nanti sangat ramai dan mereka sudah mempunyai pengalaman luas di peringkat dunia kerana majoriti mereka adalah dari ‘Pro Team’.
“Tetapi tidak mengapa kerana ini adalah impian dan peluang saya untuk beraksi bersama mereka bagi meningkatkan pengalaman saya dalam perlumbaan.
“Jadi, sasaran saya untuk kejohanan nanti adalah dengan menghabiskan perlumbaan dimana kita tahu laluan kayuhan di Paris nanti tidak mudah kerana banyak pendakian yang perlu ditempuh,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Jelas bahawa pelumba yang pernah meraih tujuh emas di Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 selain meraih dua perak di Sukan Sea Hanoi dan dua gangsa di Sukan Sea Kemboja itu mengakui perjalanannya di Olimpik nanti agak berliku.
Bagaimanapun, dengan semangat serta motivasi yang tinggi akan membantunya beraksi dengan cemerlang pada Ogos depan selain tidak mempunyai tekanan daripada mana-mana pihak setakat ini.