PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi terus mempamerkan peningkatan apabila mencatat masa 10.17 saat dalam acara 100 meter pada Kejohanan Jemputan Tom Jones di Florida.
Mewakili Auburn University, Azeem turun dalam final jemputan di Stadium James G Pressly dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14 keseluruhan daripada 36 pelari.
Perlumbaan tersebut dikuasai rakan sepasukannya, Kanyinsola Ajayi yang muncul juara dengan masa 9.90 saat, diikuti Israel Okon (9.95s) dan John Caleb (10.00s).
Catatan 10.17 saat itu memperlihatkan peningkatan ketara berbanding aksi terdahulu musim ini, sekali gus menghampiri rekod terbaik peribadinya.
Azeem sendiri menganggap prestasi tersebut sebagai perkembangan positif, namun mengakui masih banyak aspek yang perlu dipertingkatkan.
Sebagai rekod, Azeem memegang rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan 10.09 saat yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia.
Prestasi semasa ini dilihat sebagai petunjuk bahawa atlet muda itu berada di landasan tepat untuk kembali mencabar catatan terbaiknya dalam musim 2026.
Sumber Gambar: @AuburnTFXC