Real Sociedad menamatkan penantian untuk menjulang Copa del Rey buat kali keempat selepas menewaskan Atletico Madrid 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti susulan keputusan seri 2-2.

Penjaga gol Sociedad, Unai Marrero muncul wira apabila menafikan dua sepakan penalti lawan, sekali gus memastikan trofi berprestij itu kembali ke pangkuan kelab dari Basque tersebut.

Kejayaan ini lebih bermakna apabila ia disaksikan ribuan penyokong di stadium, berbeza dengan kemenangan terakhir mereka pada edisi 2020 (berlangsung pada 2021) yang diadakan tanpa kehadiran penonton akibat pandemik.

Sociedad bermula cemerlang apabila Ander Barrenetxea meledak gol seawal 14 saat permainan, namun Atletico bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ademola Lookman pada minit ke-19.

Pasukan kendalian Pellegrino Matarazzo kembali di hadapan sebelum rehat apabila Mikel Oyarzabal menyempurnakan sepakan penalti.

Ketika Sociedad hampir menjulang trofi, Atletico kembali mengikat kedudukan hasil jaringan Julian Alvarez tujuh minit sebelum tamat masa sebenar, sekali gus memaksa perlawanan ke masa tambahan dan seterusnya penentuan penalti.

Dalam penentuan tersebut, penjaga gol Atletico, Juan Musso sempat menyelamatkan satu sepakan, namun ia tidak mencukupi untuk menghalang Sociedad daripada muncul juara.

Pemain tengah, Pablo Marin memastikan kemenangan apabila menyempurnakan sepakan penalti penentu.

Kejayaan ini turut mengimbau pertemuan final 1987 antara kedua-dua pasukan yang juga berakhir dengan keputusan seri sebelum Sociedad muncul pemenang menerusi penalti.

Kemenangan itu sekali gus menafikan impian Diego Simeone untuk membawa Atletico menjulang Copa del Rey sekali lagi selepas kali terakhir pada 2013.

Sumber Gambar: FB RFEF.ES