LEGENDA olahraga tanah air, Hanapiah Nasir menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit leukimia pada Ahad.

Bekas jaguh acara decathlon itu dimasukkan ke hospital sejak jam 4 petang pada Sabtu apabila tekanan darah dan tahap oksigennya merosot.

Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh bekas wartawan Berita Harian dan The Malay Mail, Muhammad Rizal Hashim dalam catatan Facebook peribadinya.

Hanapiah yang dilahirkan di Jasin, Melaka, tampil dalam acara 10-disiplin itu dengan memenangi Kejohanan Olahraga Terbuka Selangor pada 1980 dengan mencatat 5,500 mata, sebelum menjuarai acara sama di Kejohanan Olahraga Kebangsaan di Kota Bharu dengan menghimpun 5,870 mata.

Pada tahun 1981, Hanapiah mengatasi rekod kebangsaan milik J.V. Jayan dengan mencatat 6,280 mata, sebelum memenangi pingat emas dekatlon di Sukan SEA Manila tahun yang sama.

Semasa berlatih di Jerman pada tahun 1982, Hanapiah kemudian merakam rekod kebangsaan baharu menerusi catatan 6,890 mata di Sukan SEA di Singapura 40 tahun yang lalu. Rekod itu bertahan selama 16 tahun sebelum Muhammad Malik Ahmad Tobias mengumpul 6,989 mata di Sukan SEA di Brunei 1999.

Hanapiah juga dianugerah Olahragawan Sukan SEA 1985 apabila merangkul emas 110m lari berpagar dan lompat jauh serta pingat perak acara 4x100m berganti-ganti.

Selepas persaraannya, Hanapiah beralih angin menjadi jurulatih, dengan membimbing Zaki Sadri, Nurherman Majid dan Romzi Bakar menguasai acara masing-masing di pentas Sukan SEA.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham Mohamad Hanapiah dan menempatkan rohnya dalam kalangan para solehin. Aamiiinnn Ya Rabb,” tulisnya lagi.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Baru malam ini dan dikebumikan pada Isnin.