TIADA pengecualian dan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk tidak membenarkan pemain luar menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) menggunakan baju dan seluar jenama tajaan persendirian, muktamad.

Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai menegaskan sekiranya pemain profesional perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, berkeras mahu menggunakan pakaian sukan yang menajanya, pemain ranking ke-13 dunia tidak akan dibenarkan menjejak kaki ke ABM.

“No”, ringkas jawapan Michelle ketika ditanya sekiranya Zii Jia tetap mahu berlatih di ABM dengan mengenakan pakaian jenama lain.

Pemain badminton negara sudah pernah menjalani latihan bersama di Akademi Badminton Malaysia (ABM), namun kali ini BAM terpaksa bertegas melindungi hak penajaan Yonex.

Sama ada suka atau tidak, peraturan perlu dipatuhi oleh mereka yang ingin berlatih bersama di ABM.

“Saya ingin tegaskan bahawa dia tidak dipaksa untuk memakai pakaian dari penaja kami. Dia bebas untuk memakai apa saja pakaian tapi haruslah pakai yang tidak berjenama.

“Itu saja,” kata Michelle Chai.

Michelle sekali lagi menegaskan, BAM perlu menghormati perjanjian bersama penaja utama badan induk itu (Yonex) dan kegagalan berbuat demikian akan dilihat sebagai pelanggaran kontrak yang sekali gus boleh menjejaskan masa depan pemainnya pada masa depan.

Petikan status Instagram milik Wong Tat Meng mencetus kontroversi.

BAM pada tahun lalu, mula membuka pintu buat pemain profesional untuk berlatih di ABM pada setiap hari Rabu dan Jumaat.

Baru-baru ini, jurulatih Zii Jia Wong Tat Meng menerusi Instagramnya menyelar BAM dan kesal apabila badan induk badminton negara itu mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu menjalani latihan di ABM, di Bukit Kiara.

Beliau mengakui sangat terkejut dengan peraturan berkenaan apatah lagi ia dikuatkuasakan ketika mereka dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang akan berlangsung dari 21 hingga 27 Ogos ini.

Kontroversi ciptaan Lee Zii Jia lebih meriah berbanding prestasi.

BAM ketika ini ditaja oleh syarikat peralatan sukan terkemuka, Yonex manakala Zii Jia menandatangani kontrak penajaan bersama Victor selepas dia meninggalkan badan induk itu untuk bergerak secara profesional pada awal tahun lalu.

Sementara itu, Zii Jia pada ruangan komen hantaran Tat Meng pula berkata: “Jangan nanti cakap saya ‘besar kepala’ tak datang training (latihan) pula. Aishhhhh… susah nii nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening.”

Untuk rekod, prestasi Zii Jia terus menjunam dari kedudukan ranking keempat dunia kepada 13 ketika ini.

Zii Jia belum meraih sebarang gelaran daripada 12 kejohanan jelajah disertainya tahun ini, namun berjaya mara ke separuh akhir di tiga kejohanan, Seluruh England, Terbuka Switzerland dan Terbuka Australia manakal selebihnya kandas di pusingan pertama dan kedua.