KETIADAAN beberapa gandingan utama dunia membuka peluang besar buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu Malaysia lain untuk menyerlah pada saingan Terbuka Arctic di Finland yang membuka tirai esok.
Beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae serta pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty tidak beraksi, sekali gus memberi ruang luas kepada Aaron-Wooi Yik untuk memburu gelaran juara.

Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi mahu pemain negara mengambil kesempatan atas ketiadaan beberapa beregu utama dunia yang sering menjadi penghalang merebut kejuaraan.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyifatkan kejohanan bertaraf Super 500 itu sebagai medan terbaik buat pasangan nombor dua dunia itu menebus kekecewaan selepas prestasi hambar di Kejohanan Dunia, Terbuka Hong Kong dan Masters China.
“Selepas pulang dari China, mereka kembali berlatih dan saya nampak semangat baharu untuk bangkit semula,” kata Herry yang optimis Aaron-Wooi Yik mampu mengembalikan taring mereka di Eropah.

Selain Aaron Chia-Soh Wooi Yik diletakkan selaku pilihan utama di Terbuka Arctic, gandingan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebagai pilihan kedua juga berpeluang merebut gelaran juara beregu lelaki.
Baginya, peluang di Finland perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana momentum positif di kejohanan ini mampu menjadi titik kebangkitan menjelang siri Eropah yang lain.
Aaron-Wooi Yik dijangka berdepan tentangan sebenar di separuh akhir menentang beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang yang kini di ranking kelima dunia dan mendahului rekod pertemuan 8-3.
Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia turut menurunkan beberapa pasangan lain termasuk Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, Mohd Haikal Nazri-Choong Hon Jian dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong untuk menambah warna dalam cabaran kali ini.