BUAT pertama kali media Malaysia mengalami kesukaran untuk membuat liputan Harimau Malaya kerana kemasukan ke Myanmar agak sukar apabila melibatkan visa yang tidak mudah untuk mendapat kelulusan.

Namun hubungan baik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya Noor Azman Rahman dan Kedutaan Malaysia di Yangon berjaya mengatasi masalah ini dan kami pihak media mendapat layanan kelas utama sebaik sahaja keluar dari pesawat.

Diketuai Third Secretary Cik Nurul Syalwani Mohd Nasir dan Encik Amiruddin Zaidi beserta beberapa lagi kakitangan, rombongan pihak media disambut mesra dan dibantu dalam urusan mendapatkan Visa on Arrival (VOA) di kaunter imigresen.

Noor Azman Rahman.

Selesai urusan di imigresen, kami dibawa untuk membuat pertukaran wang sebelum dibantu untuk membeli kad sim lokal untuk digunakan ketika bertugas dan semua ini berlangsung dengan mudah hasil bantuan pihak Kedutaan Malaysia.

Selepas masing-masing sudah mendapat talian internet, kami dibawa ke kaunter teksi untuk dihantar ke hotel penginapan masing-masing untuk berehat sementara menanti masa bertugas pada sebelah petang.

Layanan ala VIP ini sangat dihargai kerana segalanya teratur dari keluar pintu pesawat hingga masuk ke dalam teksi dan ia berjaya menguntum senyuman di kalangan penggiat media.

Terima kasih daun keladi kami ucapkan kepada pihak Kedutaan Malaysia di Yangon. Tanpa bantuan anda kami mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk masuk ke negara ini sekaligus tidak dapat untuk membuat liputan perkembangan skuad kebangsaan.