SKUAD B-23 tahun kebangsaan berjaya membuka tirai Kejuaraan Piala AFF B-23 dengan nota kemenangan selepas bangkit dari ketinggalan untuk membenam musuh tradisi, Indonesia 2-1 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Rayong, Thailand.

Pertukaran taktikal yang dilakukan ketua jurulatih, E. Elavarasan pada babak kedua nyata membuahkan hasil apabila pemain yang dibawa masuk, Fergus Tierney menjaringkan dua gol untuk Malaysia mengutip tiga mata penuh dan mencerahkan peluang ke separuh akhir.

Kedua-dua pasukan yang turun tanpa kesebelasan terbaik beraksi dengan baik dengan sering berbalas serangan sebelum Ramadan Santanta meletakkan Indonesia dihadapan pada minit ke-29 selepas bijak menewaskan Saiful Jamaludin sebelum merembas derat mengatasi Rahadiazli di gawang.

Tersentak dengan gol itu, Malaysia melancarkan serangan demi serangan namun dihampakan ketumpulan penyudah selain pertahanan barisan Shin Tae-yong yang sangat berdisiplin ketika mempertahankan kubu mereka.

Elavarasan akhirnya membuat keputusan memasukkan penyerang Johor Darul Ta’zim II, Fergus Tierney menggantikan Syahir Bashah untuk menajamkan lagi serangan Malaysia dan nyata ianya membuahkan hasil buat skuad negara.

Tierney berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas dikasari pertahanan Indonesia dan dia dengan tenang menewaskan penjaga gol untuk gol penyamaan pada minit ke-54 sekaligus mengembalikan keyakinan kepada para pemain.

 

Berselang lapan minit, Tierney sekali lagi berjaya menjaringkan gol sekaligus meletakkan Malaysia di depan yang menggembirakan penyokong Malaysia yang hadir ke stadium.

Masa kecederaan selama lapan minit yang diberikan pengadil keempat menambah debaran perlawanan ini tetapi Malaysia ampuh menahan asakan Indonesia yang mencari gol penyamaan untuk kemenangan mutlak 2-1 dan tiga mata penuh.

Kemenangan ini meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan B dan kini hanya perlukan sebarang keputusan positif ketika menentang Timor Leste bagi memastikan kekal sebagai juara kumpulan seterusnya layak ke separuh akhir.