PEMAIN pertahanan tengah Palestin, Oday Kharoub, secara rasmi meninggalkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan memulakan babak baharu dalam kariernya bersama kelab Libya, Al-Ahly Benghazi.
Pengumuman perpindahan pemain berusia 32 tahun itu dibuat melalui platform media sosial rasmi Al-Ahly Benghazi.
“Dari ibu kota para pejuang Muslim yang memperjuangkan hak sejarah mereka, ke kota Al-Ahly, sebuah kota yang kuat dan penuh perjuangan,” tulis kenyataan kelab tersebut.
Menurut kenyataan itu, Kharoub tertarik untuk menyertai Al-Ahly Benghazi kerana sejarah kelab yang kaya dan persekitaran kompetitif yang ditawarkan.
Dia diperkenalkan secara rasmi dalam satu majlis menandatangani kontrak yang diadakan oleh kelab tersebut, menandakan penyertaan rasminya sebagai pemain baharu dalam pasukan.
Sebelum berhijrah, Kharoub mencipta impak besar bersama KDN FC dalam Liga Super Malaysia. Dalam 14 perlawanan, dia berjaya menjaringkan empat gol dan mencatatkan dua bantuan gol walaupun beraksi di posisi pertahanan.
Namun begitu, kerjasama antara Kharoub dan KDN FC tidak bertahan lama. Laporan menyebut bahawa Kharoub adalah salah seorang daripada beberapa pemain utama yang memilih untuk meninggalkan pasukan, sebelum akhirnya membuat keputusan menyertai pendahulu Liga Perdana Libya.
Al-Ahly Benghazi kini menduduki tangga teratas dalam Kumpulan Timur 2 Liga Perdana Libya dengan rekod lima kemenangan dan satu seri daripada enam perlawanan awal mereka. Persembahan konsisten kelab itu mengukuhkan kedudukan mereka sebagai salah satu pesaing utama musim ini.
Oday Kharoub dijangka membuat penampilan sulungnya bersama Al-Ahly Benghazi dalam perlawanan menentang Al-Branes pada pagi Jumaat ini.
Perlawanan itu akan berlangsung di laman sendiri, memberi peluang kepada Kharoub untuk cepat menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya dan mempamerkan kehebatan sebagai pemain pertahanan.