PENGENDALI Johor Darul Ta’zim, Hector Bidoglio mengakui matlamat utama pasukannya pada setiap perlawanan di Liga Juara-Juara AFC Elite adalah untuk mencipta kemenangan dan perkara itu juga menjadi fokus utama apabila berhadapan Shandong Taishan untuk aksi kelima Peringkat Liga pada Selasa.
JDT yang hadir awal ke Shandong mahu memastikan semua pemain dapat mengadaptasi dengan keadaan cuaca yang dingin namun Bidoglio tidak melihat perkara itu sebagai ancaman sebaliknya percaya pemainnya sudah bersedia.
Jurulatih asal Argentina itu juga gembira kerana kesemua pemain yang dibawa ke China berada dalam keadaan terbaik dan semuanya sedia untuk diturunkan bagi memburu kemenangan sekaligus semakin hampir untuk layak ke peringkat 16 terbaik.

“Seperi biasa, ianya akan menjadi satu perlawanan yang penting dan sukar buat kami tetapi persiapan kami baik dengan pemain sudah bermain banyak perlawanan di peringkat domestik dan mereka semua dalam keadaan yang baik untuk perlawanan esok.
“Perlawanan di sini semestinya berbeza tetapi pemain bersedia untuk bermain dan kami tahu Shandong Taishan adalah pasukan yang baik tetapi kami hanya fokus kepada diri sendiri dan saya gembira dengan para pemain kerana kami kompetitif dalam saingan ACL Elite ini.
“Matlamat kami adalah layak ke peringkat seterusnya dan untuk permainan esok, kami mahu menang. Itu sahaja sasaran dalam setiap perlawanan dan kami fokus kepada perkara ini kerana JDT juga kini adalah salah satu pasukan yang baik di Asia,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Sementara itu, pemain pertahanan, Jordi Amat juga senada dengan Bidoglio dengan menyatakan para pemain dapat mengadaptasi keadaan cuaca serta corak latihan yang diterapkan dan bersedia untuk membawa pulang tiga mata.
Namun begitu, dia tetap mahu kesemua pemain berhati-hati terutama dengan corak hantaran jauh pasukan lawan dan mahu JDT mencari peluang untuk menjaringkan gol.
“Kami kembali ke China dan datang lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan cuaca. Latihan berjalan baik dan bersedia untuk perlawanan esok dan seperti biasa perlawanan di tempat lawan sentiasa sukar dan kami perlu memastikan kami memenangi bola kedua kerana lawan bermain taktikal hantaran jauh dan kami perlu mencari peluang menjaringkan gol,” ujarnya.
Selepas berakhir empat perlawanan, JDT ditangga keempat Peringkat Liga Zon Timur dengan tujuh mata dan jika berjaya mencipta keputusan positif dari Shandong, Harimau Selatan semakin menghampiri matlamat layak ke peringkat seterusnya sebagai lapan pasukan terbaik dari 12 pasukan bertanding.