Select Page

BLPLC: Oriental Real Estate buka tirai penuh ‘garang’

BLPLC: Oriental Real Estate buka tirai penuh ‘garang’

PASUKAN Oriental Real Estate memulakan kempen mereka dengan bergaya apabila menundukkan AIG 15-0 pada hari pertama kejohanan badminton Biz Link Properties Purple League Corporate 2021/2022 (BLPLC) di Setapak Badminton Centre, Kuala Lumpur pada Ahad.

Beregu lelaki Kum Yi Fan – Tan Kian An meraih mata semangat buat Oriental Real Estate apabila mengatasi Chiew Chin Ming – Muhammad Hafiz Mohd 11-5, 11-2, 11-5 dalam perlawanan pertama.

Oriental Real Estate terus garang apabila Ter Chun Long – See Su Yin menjinakkan cabaran Tan Jun Yi – Hang Siu Kan 11-4, 11-3, 11-3 dalam masa 13 minit dalam acara beregu campuran manakala Azizan Mohd. Ariffin – Tan Fu Tzen memastikan kemenangan ke atas Joachim Tayok – Raja Kamaruzaman 11-5, 11-6, 11-4 dalam acara beregu lelaki kedua.

Err Ganjing – Kho Mai Lai memastikan sebarang usaha AIG untuk sekurang-kurangnya meraih mata gagal apabila menumpaskan Aimi Liyana – Wong Kha Yan 11-7, 11-3, 11-3 dalam acara beregu wanita sebelum Oriental Real Estate menyempurnakan kemenangan bersih dalam perlawanan sulung Kumpulan B mereka menerusi Ng Eng Cheong – Ter Chun Wei yang mengalahkan Suffian Zakaria – Tan Jia 11-2, 11-2, 11-1 dalam beregu lelaki terakhir.

Mengulas mengenai kejayaan Oriental Real Estate pengurus pasukannya Nur Farah Iliyana berkata dia gembira dengan prestasi pasukannya.

“Kemenangan yang sangat bagus bagi kami, dan kami percaya kami mampu mara lebih jauh. Menyertai kejohanan ini adalah satu penghormatan bagi kami kerana boleh bersaing dengan syarikat-syarikat besar di negara ini,” ujarnya.

Jack Koh memberi aksi terbaik dalam kejohanan pertama berprestij seperti BLPLC.

Sementara itu, pasukan pilihan Top Glove Badminton Club menyingkirkan saingan Perbadanan Putrajaya dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung sengit apabila menang 13-8, dengan tumpuan penonton dicuri pasangan Top Glove Dato Jack Koh-Leong Wei Boon ketika menang ke atas Razali Ngatiman – Zairul Hafiz 11-7, 11-7, 11-3 untuk memastikan kemenangan pasukannya dalam acara beregu lelaki.

Bersaing buat kali pertama dalam Corporate League, Datuk Jack Koh berkata beliau bangga kerana dapat menyertai kejohanan berprestij seperti BLPLC.

“Saya berterima kasih kepada Top Glove Badminton Club kerana mempercayai saya dan memasukkan saya ke dalam pasukan. Saya gembira kerana mendapati tahap kecergasan saya setara dengan pemain lain, saya tidak sabar untuk bermain dengan lebih baik lagi dalam perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Pertandingan hari pertama diteruskan oleh pertemuan antara Red Phoenix melawan Aeon Credit Service manakala Genting Malaysia bertemu Senheng. Kedua-dua perlawanan bermula pukul 8 malam.

Kejohanan kali kedua dianjurkan ini disertai 10 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan akan bersaing selama dua minggu berturut-turut dari 6-14 Ogos. Tiga pasukan teratas setiap kumpulan kemudian akan mara ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada 20-21 Ogos di Setapak Badminton Centre, Kuala Lumpur.

Video Terkini

Loading...