SAINGAN aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali membuka tirai dengan aksi pembukaan Fulham melayan kunjungan pelawat, Liverpool dalam aksi yang berlangsung di Stadium Craven Cottage.
Bekas ‘arkitek’ tengah Liverpool, John Charles Bryan Barnes yakin The Reds akan terus mempamerkan prestasi konsisten selagi jurulatih Jurgen Klopp menjadi menguruskan kelab England itu.
Tambahnya, selagi cara bermain ‘high pressing’ ini diteruskan dalam sesi latihan dan perlawanan sebenar, Liverpool akan terus berada di puncak prestasi setidak-tidaknya untuk tempoh dua tahun lagi.

Sebahagian daripada penyokong-penyokong setia Liverpool turut hadir.
“Liverpool akan terus konsisten selagi Jurgen Klopp berada di sana kerana tuntutan yang diletakkan kepada pasukan tidak kira dengan siapa mereka bertemu.
“Mereka berlatih juga dengan cara yang sama. Selagi dia masih berada di sana, Liverpool akan bermain dengan kesungguhan dan intensiti dalam setiap sesi latihan mereka. Mereka akan fokus kepada setiap perlawanan.

“Jika pengurus baharu ingin menggantikan tempat Jurgen Klopp, dia harus berkata saya ingin mengubah semuanya dan anda harus membenarkannya,” kongsinya kepada media dalam sesi temubual yang diadakan di sebuah restoran sebelum perlawanan sulung Liga Perdana Inggeris, Fulham menentang Liverpool bermula.
Turut hadir adalah para penyokong Liverpool yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan yang menghuni tangga kedua liga itu, di belakang Manchester City pada musim lepas.