Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sah menarik diri daripada Kejohanan Dunia Badminton BWF 2026 bagi memberi laluan kepada proses pemulihan kecederaan lutut yang dialami Ee Wei.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat pasukan perubatan dengan keutamaan diberikan kepada pemulihan jangka panjang pemain berusia 25 tahun itu.
Ee Wei kini masih menjalani proses rehabilitasi selepas menjalani pembedahan lutut baru-baru ini dan belum bersedia untuk kembali beraksi di pentas kompetitif.
Dalam masa sama, BAM turut mengesahkan pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi melindungi kedudukan ranking dunia Ee Wei sepanjang tempoh pemulihannya.
Langkah itu dijangka dapat memastikan pasangan negara itu tidak kehilangan kedudukan ranking secara ketara ketika Ee Wei berehat daripada saingan antarabangsa.
BAM turut menzahirkan harapan agar Ee Wei menjalani proses pemulihan dengan lancar sebelum kembali bergandingan bersama Tang Jie sebaik sahaja disahkan cergas sepenuhnya untuk beraksi semula di gelanggang.