Kredit Gambar: Malaysia NT

Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya terus meningkatkan prestasi meskipun berjaya membuka kempen ASEAN Hyundai Cup dengan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar di Stadium Thuwunna.

Cheng Hoe gembira melihat pasukannya berjaya membawa pulang tiga mata dari gelanggang lawan, namun menegaskan masih banyak ruang perlu diperbaiki ketika skuad negara sedang membina keserasian dalam pasukan.

Menurutnya, tahap kecergasan antara perkara yang masih menjadi perhatian barisan kejurulatihan berikutan sebahagian besar pemain baru sahaja kembali menjalani latihan pramusim bersama kelab masing-masing.

“Semestinya sebagai jurulatih, saya sangat gembira dan saya harap para pemain akan terus kekal fokus untuk perlawanan seterusnya.

“Mereka perlu terus meningkatkan prestasi bagi setiap individu di dalam pasukan ini,” katanya selepas perlawanan.

Cheng Hoe mengakui kemenangan ke atas Myanmar memberikan keyakinan kepada pasukan, terutama selepas Harimau Malaya terpaksa bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun, beliau melihat skuad negara masih dalam proses membentuk karakter selain meningkatkan persefahaman dan keserasian antara pemain.

“Sudah tentu keputusan ini memberikan saya keyakinan. Pemain-pemain benar-benar bermain dengan baik.

“Kami tahu kami mempunyai beberapa kelemahan di mana karakter kami belum cukup kuat untuk perlawanan ini, tetapi kami membina karakter tersebut secara perlahan-lahan.

“Dari segi kecergasan pula, kami agak bimbang kerana kebanyakan pemain baru sahaja kembali daripada latihan pramusim, jadi kami belum bersedia sepenuhnya,” katanya.

Justeru, Cheng Hoe tidak mahu pasukannya terlalu memikirkan cabaran yang menanti pada perlawanan akan datang dan sebaliknya kekal dengan pendekatan satu perlawanan pada satu masa.

Beliau percaya satu atau dua aksi lagi mampu membantu Harimau Malaya mencapai tahap lebih baik terutama dari aspek kerjasama, persefahaman dan keserasian pasukan.

Pada masa sama, Cheng Hoe turut memuji peranan kapten, Paulo Josue dalam membantu menyatukan barisan pemain muda dan berpengalaman sepanjang kem latihan.

“Saya sangat gembira melihat Paulo sebagai kapten memimpin pasukan dengan gabungan pemain muda dan pemain berpengalaman yang sangat baik.

“Ini sangat membantu persekitaran kerja dan keharmonian dalam pasukan, dan ia benar-benar memberi kami keyakinan untuk melangkah lebih jauh,” katanya.

Malaysia membuka kempen Kumpulan B dengan kemenangan 2-1 ke atas Myanmar hasil dua jaringan Josue pada separuh masa kedua selepas terlebih dahulu ketinggalan menerusi gol Myat Kaung Khant.

Harimau Malaya seterusnya akan meneruskan kempen menentang Laos pada 28 Julai.