SETELAH menjalani pembedahan pada 2015, arkitek tengah Sri Pahang FC, Muhamad Nor Azam Abdul Azih dilihat masih bergelut dengan kecederaan lutut bahagian ‘meniscus‘ yang kembali menghantuinya dua tahun yang lalu.
Jelasnya, dia perlu mengambil pil tahan sakit sekiranya ingin mengurangkan rasa sakit di bahagian lututnya dan perlu mengikat lututnya sebagai perang psikologi kepada dirinya menganggap semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.
Namun, sekiranya diberi peluang, pemain berusia 27 tahun itu tetap berazam melakukan yang terbaik meskipun sedar tidak dapat mempamerkan kecergasan pada tahap maksimum.

“Bagi saya sendiri, kecederaan saya masih ada, masih lagi sakit. Permainan saya tidak sama macam dahulu. Dalam liga, boleh nampak saya tidak boleh untuk mencuba.
“Buat masa sekarang, saya masih bergelut kerana kecederaan lutut saya mengganggu masa latihan tetapi saya akan cuba buat yang terbaik.
“Sebagai pemain, sekiranya jurulatih mahu mengisi saya di bahagian tengah, sudah tentu saya akan cuba sehabis baik. Masalah kecederaan saya memang mengganggu.
“Sekarang ini tiada suntikan, tetapi sekarang ini adalah masalah meniscus. Bila hendak intercept bola, sangat sukar. Saya tidak boleh hendak membuat perkara itu, saya hilang keyakinan.

“Kalau saya mahu beri keyakinan kepada diri saya, saya perlu cuba makan pil tahan sakit. Itu cara saya atasi kecederaan untuk setiap perlawanan kerana pil tahan sakit ini saya tidak boleh ambil kerap sangat, ia akan beri kesan buruk kepada diri saya.
“Saya rasa di Thailand King’s Cup, saya akan cari semula keyakinan untuk beraksi dengan baik.
“Saya memang mengambil masa kerana kecederaan lutut ini memang agak serius. Saya tidak ajar sangat diri saya untuk makan ubat. Saya akan ikat lutut. Itu cara saya hendak hilangkan ketakutan saya. Saya sudah menderita sejak dua tahun lepas. Operasi pada 2015, ia mula sakit sejak 2017, ” katanya ketika ditemui media sebelum sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Pertahanan Sabah FC, Dominic Tan Jun Jin.
Sementara itu, pertahanan Sabah FC, Dominic Tan Jun Jin menzahirkan penghargaan kepada penyokong Sabah FC yang terus memberi sokongan kepadanya ketika beraksi di kelab dan pasukan kebangsaan.
Jelasnya, dia sudah mengadaptasi gaya permainan yang diterapkan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon selama tiga hari lepas dan kini bersedia sepenuhnya menghadapi saingan King’s Cup di Chiang Mai, Thailand.
“Penyokong Sabah memang terbaik, saya harap mereka terus menyokong kami dan kita akan teruskan aksi yang baik.
“Setakat ini, latihan agak baik. Jadi, saya sudah bersedia dalam perlawanan menentang Thailand nanti.
” Saya tidak mahu fikir sangat tentang masa hadapan, saya ingin melihat pada keadaan semasa dan melakukan yang terbaik, ” ujarnya.