Kredit Gambar: Darren Staples/AFP

Jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin mahu mengukir satu lagi sejarah apabila turun mempertahankan reputasinya pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, esok.

Selepas menakluk dua edisi terdahulu, atlet berusia 32 tahun itu kini memburu kejuaraan ketiga berturut-turut yang bakal menjadikannya atlet angkat berat Malaysia pertama meraih tiga pingat emas Sukan Komanwel.

Aznil muncul juara kategori 62 kilogram (kg) pada Gold Coast 2018 sebelum meneruskan penguasaan dengan memenangi kategori 61kg di Birmingham 2022.

Peluang untuk mencipta pencapaian baharu itu menjadi motivasi utama Aznil menjelang aksinya dalam kategori 65kg di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.

“Setakat ini belum ada atlet angkat berat negara yang memenangi tiga pingat emas di Sukan Komanwel.

“Jadi, saya akan cuba mencipta sejarah dengan mendapatkan emas ketiga. Itu impian saya dan menjadi pembakar semangat untuk saya,” katanya.

Sekiranya berjaya menaiki podium tertinggi di Glasgow, Aznil bukan sahaja melengkapkan hatrik kejuaraan, malah mengatasi pencapaian bekas jaguh negara, Amirul Hamizan Ibrahim yang pernah memenangi dua emas pada Manchester 2002 dan Delhi 2010.

Menjelang pertandingan, Aznil menyasarkan jumlah angkatan keseluruhan 310kg dan yakin berada dalam keadaan bersedia selepas berjaya menyesuaikan diri dengan persekitaran di Glasgow.

Namun, laluan memburu emas ketiga dijangka tidak mudah dengan pencabar dari India dan Papua New Guinea dikenal pasti antara ancaman utama dalam perebutan kejuaraan.

Aznil bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan kekuatan lawan dan menyerahkan perancangan taktikal kepada jurulatih bagi menentukan strategi terbaik ketika pertandingan.

Pengalaman di Birmingham empat tahun lalu turut menjadi sandaran Aznil apabila ketika itu dia mempertahankan emas dengan jumlah angkatan 285kg.

Dia mencatat 127kg dalam snatch sebelum melakukan angkatan 158kg dalam clean and jerk untuk turut memperbaharui rekod temasya.

Kini dengan sasaran keseluruhan 310kg, pentas Glasgow menawarkan peluang buat Aznil mencipta satu lagi detik bersejarah dalam kariernya dan mengukuhkan status sebagai antara atlet angkat berat terbaik pernah dimiliki Malaysia.

Saingan angkat berat Glasgow 2026 akan membuka tirai esok dan berlangsung selama lima hari di SEC Armadillo.