Kredit Gambar: Malaysia NT
Hanya sekitar 10 hari bersama sudah cukup buat barisan Harimau Malaya menunjukkan kemampuan menterjemahkan tuntutan taktikal Tan Cheng Hoe apabila bangkit menewaskan Myanmar 2-1 dalam aksi pembukaan ASEAN Hyundai Cup.
Kapten negara, Paulo Josue menyifatkan kemenangan di Stadium Thuwunna itu sebagai hasil kerja keras seluruh pasukan, terutama selepas mereka terpaksa mengejar permainan apabila dibolosi pada awal separuh masa pertama.
Walaupun tempoh persediaan agak singkat, Josue melihat rakan sepasukannya semakin memahami corak permainan yang mahu diterapkan Cheng Hoe.
“Saya gembira untuk rakan-rakan sepasukan dan bangga dengan mereka. Saya rasa selepas 10 hari berkumpul, bukan mudah untuk menyerap segala taktikal yang dimahukan oleh jurulatih.
“Tetapi saya rasa pada separuh masa pertama, kami mempamerkan permainan yang sangat baik. Kami dibolosi satu gol, sudah tentu itu bukan rancangan kami, tetapi kami tahu mereka mempunyai serangan balas dan transisi yang pantas,” katanya.
Malaysia ketinggalan seawal minit ke-10 menerusi jaringan Myat Kaung Khant sebelum Josue sendiri memainkan peranan utama dalam kebangkitan pasukan pada babak kedua.
Pemain KL City FC itu menyamakan kedudukan pada minit ke-52 sebelum menyempurnakan sepakan penalti lima minit kemudian untuk memastikan Harimau Malaya pulang dengan tiga mata.
Josue bagaimanapun mengakui kemenangan itu tidak hadir dengan mudah terutama berdepan Myanmar yang mendapat kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Menurutnya, tahap komitmen tinggi dan corak permainan agresif tuan rumah menyebabkan Malaysia terpaksa bekerja keras sepanjang perlawanan.
“Seperti yang kita sedia maklum, pasukan Myanmar sangat kuat apabila bermain di tempat sendiri. Mereka bermain dengan motivasi yang sangat tinggi dan sangat komited dalam setiap detik perlawanan.
“Sudah tentu ada ketikanya kami bergelut kerana mereka bangkit dengan sangat kuat. Ia bukan perlawanan yang mudah. Kami tahu perkara ini dan telah mempersiapkan diri. Myanmar adalah pasukan yang sangat kuat,” katanya.
Lebih penting buat Josue, Harimau Malaya tidak hilang arah selepas ketinggalan dan berjaya memberikan tindak balas positif untuk mengubah keputusan pada separuh masa kedua.
“Syukur kepada Tuhan kami berjaya bangkit pada separuh masa kedua. Secara keseluruhannya, kami berjaya menghasilkan permainan yang baik dan saya bangga dengan rakan-rakan,” katanya.
Kemenangan itu menjadi permulaan positif buat Malaysia dalam saingan Kumpulan B sebelum berdepan Laos pada 28 Julai.